Dato’ Seri Dr. Hj. Mohammad Eusuff Teh dikenali
sebagai seorang Doktor perubatan Homeopathi yang hartawan dan dermawan serta memiliki
sifat-sifat terpuji dan berakhlak mulia, jujur, amanah, sabar, rendah diri dan pemurah.
Meskipun dikenali sebagai seorang yang hartawan, beliau
mengamalkan prinsip kehidupan dengan penuh kesederhanaan dan menumpukan perhatian
dalam kerja-kerja amal jariah terutamanya di Klinik Homeopathi milik beliau.
Disamping memberikan ubat secara percuma kepada pesakit-pesakit dari golongan
tidak berkemampuan, beliau juga tidak melepaskan peluang untuk menyampaikan dakwah
dan memberi nasihat agama disamping mengambil berat terhadap masalah mereka.
Dato’ Seri sering berdakwah akan keluhuran dan
kesucian agama Islam kepada orang bukan Islam, namun beliau mengambil sikap
berhati-hati sekiranya ada yang ingin memeluk agama Islam. Beliau berpendapat
bahawa adalah lebih baik sekiranya diteliti sebab dan niat seseorang yang ingin
memeluk agama Islam serta tahap pemahaman mereka terhadap agama Islam serta
membimbing mereka untuk memahami ajaran Islam daripada terburu-buru mendorong mereka
memeluk agama Islam demi mempertahankan keagungan agama Islam agar ia tidak
dipermain-mainkan ataupun diperalatkan oleh mana-mana pihak untuk apa jua
keadaan disamping mengekang mereka dari keluar agama Islam dan
murtad selepas itu.
Berikutan dari kemampuan modal dan kesedarannya untuk
menunaikan fardhu kifayah, beliau telah mengasaskan Syarikat Zaitun Industri Berhad, yang merupakan syarikat perintis
di Malaysia mengeluarkan produk suci dan halal khusus untuk umat Islam.
Disinilah bermulanya slogan “Gunakan Tanpa Was-Was“ yang
mencetuskan revolusi barangan halal dan
suci dibuat oleh orang Islam, untuk pengguna
Islam .
Dato’ Seri dan isterinya To’ Puan Rokiah Binti
Abdullah dikurniakan seramai enam orang anak, dua daripadanya lelaki iaitu Dato’
Mohd. Raihan dan Dato’ Mohd. Kamal serta empat anak perempuan iaitu Aisha,
Faridah , Zaiton dan Siti Haja. Kesemua
anak-anak mereka telahpun mendirikan rumahtangga dan dikurniakan dengan 16
orang cucu dan 5 orang cicit.
Dato’ Seri menitikberatkan kerja-kerja amal jariah kepada
kesemua anak-anaknya dan mengamalkan kaedah membuat kebajikan secara berahsia “tangan kiri tidak tahu apa yang diberikan
oleh tangan kanan”. Namun, untuk
sesetengah situasi yang memerlukan lebih banyak pertolongan ataupun bantuan berskala
besar, beliau membenarkan media massa untuk memaparkan sumbangannya agar
liputan tersebut dapat menjadi pencetus motivasi untuk mengalakkan individu dan
organisasi lain untuk turut sama memberikan sumbangan.
Antara sumbangan dan kerja amal yang telah
dilaksanakan oleh Dato Seri adalah seperti berikut:
·
Agihan
tahunan beras dan makanan asas bagi fakir miskin ke seluruh negara.
·
Menyertai
program anjuran pemberian makanan percuma tahunan Rotary Club Malaysia untuk
warga miskin di Kuala Lumpur dan menyumbang kepada program anjuran NGO seperti
M.A.D.E , kumpulan Al-Nidaa dan lain-lain .
·
Derma
bagi mangsa kebuluran di Korea.
·
Derma
bagi mangsa peperangan di Kosovo dan Bosnia.
·
Derma
bagi Yayasan Markazu di India yang menghuni seribu anak-yatim yang dilengkapi sebuah hospital dan sekolah.
·
Sumbangan
tahunan untuk majlis berbuka puasa dan moreh kepada Masjid dan Surau angkat pada
setiap bulan Ramadhan.
·
Adalah
menjadi tradisi pada setiap bulan Ramadhan, Dato’ Seri bersama isterinya dan kesemua anak-anak dan cucu-cucunya
akan mengunjungi rumah-rumah anak yatim, rumah orang-orang tua dan tidak
berkeupayaan untuk memberi infaq’ zakat dan sumbangan.
·
Beliau
juga sering mengunjungi kampung-kampung pendalaman dalam usaha mengenal pasti orang fakir dan miskin yang memerlukan bantuan termasuk
membina dan membaiki rumah.
·
Menyumbangkan
naskah Al-Quran, sejadah dan telekung
kepada Madrasah, Masjid dan Surau serta kaki prostetik kepada mereka yang memerlukan.
·
Sumbangan
pembinaan dan kerja penambahbaikkan Masjid,
Surau dan sekolah agama serta Pusat Tahfiz Al-Quran yang disemadikan dengan
nama beliau atas kehendak dan persetujuan penduduk setempat, antaranya :
i.
Dewan
Tahfiz Al’ Quran Mohammad. Eusuff Teh di Kuala Selangor, Selangor
ii.
Sekolah
Rendah Agama Dato’ Seri Dr. Hj. Eusuff
Teh di Melaka
iii.
Masjid
Silaturrahim Mohammad. Eusufff Teh di Gombak,
Selangor
iv.
MASJID DR. HJ. MOHAMMAD EUSUFF TEH di
Mukim Pedas, Negeri Sembilan (projek
pembinaan Masjid ini telah selamat
disempurnakan oleh anak sulung beliau iaitu
Dato’ Mohd. Raihan bagi menunaikan niat dan hasrat Dato’ Seri untuk
membina sebuah Masjid yang lengkap dan telah diwakafkan kepada penduduk Pedas
Hilir, Negeri Sembilan pada 19hb. November, 2010).
Dato’ Seri mengasuh anak-anaknya agar mengamalkan sifat
TAQWA dan ADIL bukan sahaja sesama manusia malahan kepada makhluk Allah yang
lain iaitu haiwan/binatang. Beliau
menekankan bahawa burung sepatutnya menikmati kebebasan untuk terbang bebas dan
bukan dikurung dalam sangkar dan sekiranya ingin membela ikan, hendaklah
dikolam yang besar dan bukannya didalam tangki ikan yang kecil. Beliau juga
tidak menerima perbuatan memukul ataupun menyiksa apa jua binatang dalam apa
jua keadaan. Untuk menyokong usaha-usaha mempertahankan hak haiwan, Dato’ Seri merupakan penderma kepada
tabung SPCA, Malaysia iaitu badan yang menghalang Haiwan dari Seksaan.
Dato’ Seri mengamalkan prinsip Islam dan tegas dalam
membimbing anak-anaknya didalam soal keagamaan sebagai bekalan dunia dan akhirat.
Anak- anak Dato’ Seri merasa bertuah kerana berpeluang mendapatkan nasihat dan tunjuk-ajar
serta panduan samaada berhubung soal
perniagaan mahupun soal hal-ehwal agama pada setiap malam semasa hayatnya yang
menjadikannya seorang ayah yang istimewa dan dikenang sehingga kini.
Salah satu peristiwa yang masih terpahat di memori
anak sulungnya, Dato’ Mohd. Raihan yang mencerminkan ketaqwaan dan keimanan
ayahnya berlaku semasa Dato’ Mohd Raihan
dalam usia belasan tahun ketika berlakunya rusuhan kaum 13hb. Mei, 1969. Di
waktu itu, Dato’ Mohd. Raihan masih ingat keadaan dimana ibunya yang merasa cemas
mengetuk pintu bilik ayahnya berkali-kali yang ketika itu sedang mengerjakan
solat Maghrib. Ibunya mengetuk pintu bilik mendesak ayah supaya keluar segera
kerana khuatir para perusuh akan pecah masuk ke dalam rumah, namun ayahnya
tetap mengerjakan solat sehingga selesai. Sebaik ayah keluar dari bilik beliau
meningatkan ibu supaya jangan sekali-kali menggangu ketika dia bersolat dalam
apa jua situasi kerana sesungguhnya, Allah sahaja yang melindungi kita dari apa
jua musibah dan kepada Allah sahaja
yang kita mohon pertolongan dan
perlindungan.
Kecintaanya pada ketinggian dan kesucian agama Islam
terserlah bila ia sering memilih untuk mengunjungi Masjid-Masjid terlebih
dahulu disetiap tempat yang beliau dan keluarga lawati apabila keluar melancung
ke luar-negara. Dato’ Seri tidak pernah meninggalkan isteri dan anak-anaknya
walaupun untuk semalam. Beliau akan membawa mereka bersama-sama ke mana-mana
sahaja walaupun untuk urusan berniaga ke luar-bandar. Kasih sayang yang begitu
erat menjadi beliau seorang ayah yang
amat akrab dengan semua anak-anaknya.
Dato’ Seri berpesan kepada anak-anaknya supaya sentiasa
mempertahankan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Beliau pernah berkata
pada anak-anaknya bahawa dia berdoa kepada Allah SWT supaya dia rela dikembalikan
kepada Allah SWT dengan serta-merta daripada menjadi orang yang sesat, kerana tiada
yang lebih penting dan berharga selain dari agama yang benar, iaitu agama Islam.
Diantara wasiat Dato’ Seri kepada anak-anaknya ialah
sentiasa membuat amal kebajikan dengan membantu fakir miskin dan meneruskan
pengagihan beras kepada mereka setiap tahun. Secara ringkasnya, amanat dan
wasiat beliau diringkaskan seperti berikut :
·
HULURKAN BANTUAN
KEPADA MEREKA YANG MISKIN DAN MEMERLUKAN
·
JANGAN MEMBURU,
MENGURUNG DAN MENYEKSA BINATANG
·
BEBASKAN BURUNG-BURUNG DAN MAKHLUK YANG
TIDAK BERDOSA
·
NASIHATI ORANG
LAIN SUPAYA BERHENTI MEMBUAT KEKEJAMAN SEMOGA ANDA JUGA MEMPEROLEHI PAHALA
·
SETIAP AMAL PERBUATAN
PASTI ADA BALASANNYA
Allahyarham Dato’ Seri Dr. Hj. Mohammad. Eusuff Teh telah
kembali kerahmatullah pada 15 Muharram 1425H bersamaan 18hb. March, 2003.
Meskipun selepas ketiadaan beliau, legasi Klinik Homeopathi
Dato’ Seri terus beroperasi meneruskan kerja-kerja
amal jariah yang dimulakan oleh beliau. Anak-anak dan cucu-cucunya pula
menjunjung tinggi amanat dan wasiat Dato’ Seri dalam meneruskan kerja-kerja
amal jariah dengan membentuk TABUNG AMAL
KEBAJIKAN ALLAHYARHAM DATO’ SERI DR. MOHAMMAD. HJ. EUSUFF TEH bagi
melaksanakan kerja-kerja amal kebajikan dengan lebih tersusun sehingga kini.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmatNYA keatas roh
Allahyarham Dato’ Seri Dr. Hj. Mohammad. Eusuff Teh dan menempatkannya di
kalangan para solihin dan syuhada’. AL-FATIHAH.
Aamiin.